Kini, 11 tahun sudah berlalu. Masa terlalu cemburu. Saya sudah punya anak 4 hendak masuk 5. Anak sulung saya, Ilyas sudah 11 tahun. Afiqah 12 tahun. Baru-baru ini Afiqah menghadapi masalah kesihatan yang kronik. Saluran darahnya pecah dan hatinya membengkak dan mengeras.
Tabung Afiqah yang dikendalikan oleh Amanah Raya juga sudah habis. Kos perubatan sebanyak RM 2000.00 adalah jumlah yang besar untuk disediakan oleh keluarganya setiap bulan. Ini tidak termasuk sekiranya dimasukkan ke dalam wad. Banyak hospital menolak permohonan keluarga Afiqah kerana kes ini berisiko tinggi.
Maka terpaksalah setiap masalah atau sebagainya dirujuk kepada hospital pakar SJMC dan sudah pastinya memerlukan kos rawatan susulan yang amat mahal. Saya dan keluarga Afiqah membuat surat permohonan untuk bantuan perubatan kepada badan-badan kebajikan, agensi kerajaan dan korporat.
Alhamdulillah ada juga jawapan yang positif daripada mereka walaupun kadang kala memakan masa yang agak lama. Dua bulan yang lepas, syarikat korporat Kumpulan Lion telah menyumbangkan sebanyak RM12,000.00 untuk Dana Bantuan Perubatan Adik Nurul Afiqah. Saya sendiri dijemput menjadi saksi ketika penyerahan bantuan tersebut di ibu negara. Ribuan terima kasih diucapkan kepada mereka. Tanggungjawab sosial syarikat berkenaan terhadap masyarakat amat kami sanjung tinggi dan wajar dicontohi.
Memandangkan adik Nurul Afiqah memerlukan bantuan perubatan sepanjang hayat. Saya berharap akan lebih banyak lagi agensi kerajaan atau swasta tampil ke hadapan untuk membantu adik Nurul Afiqah dan kanak-kanak yang senasib dengannya.
Ada juga kanak-kanak yang menghidap penyakit hati kronik tidak dapat diselamatkan kerana kurangnya pengetahuan oleh ahli keluarga mereka tentang penyakit ini. Ada juga tidak mempunyai kemampuan untuk menghantar anak mereka seberapa segera ke hospital.
Bagi diri kita perkara ini mungkin kecil tapi bagi mereka yang memerlukan penerimaan pendermaan organ. Ini adalah perkara hidup atau mati. Adakah anda sudah bersedia untuk berikrar menjadi penderma organ untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukannya?
Post Footer automatically generated by Add Post Footer Plugin for wordpress.








