SUBANG JAYA – Setelah menjalani pembedahan pemindahan hati 10 tahun yang lalu, Nurul Afikah Mohd Zahir, 11, kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan yang perlu diambilnya setiap hari.
Kanak-kanak yang menjalani pembedahan pemindahan hati kedua di negara ini membabitkan penderma tidak mempunyai pertalian darah masih memerlukan rawatan susulan apabila keadaan kesihatannya tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Lebih memilukan, Nurul Afiqah perlu bergantung kepada pengambilan ubat sehingga usianya mencecah 18 tahun atau seumur hidup bergantung pada nasihat doktor.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Azita Mud Yatim, 34, berkata, bagaimanapun dia kini buntu memikirkan kos rawatan dan perubatan anaknya yang mencecah RM2,000 sebulan apabila nilai baki dalam tabung yang pernah ditubuhkan ketika pembedahan dijalankan pada 2000 semakin susut.
“Tahap kesihatan Afiqah tidak menentu dan pada hujung tahun lalu anak saya terpaksa ditahan di wad selepas pihak hospital mengesyaki berlaku tanda penolakan organ hati yang diterimanya.
“Bagaimanapun, selepas doktor menukar dos ubat yang diambil sebelum ini, keadaannya nampak lebih stabil,” katanya yang memaklumkan anaknya juga sering berulang-alik ke hospital selepas pemeriksaan dan ujian dilakukan mendapati dia kekurangan darah.
Azita berkata, sehingga kini kos perubatan dan rawatan susulan anak sulungnya itu dijelaskan melalui lebihan baki tabung yang disumbangkan ketika pembedahan dilakukan terdahulu.
“Selepas 10 tahun, baki tabung yang ketika itu ditubuhkan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum diletakkan di bawah jagaan Amanah Raya kini semakin berkurangan.
“Setiap bulan bekalan perubatan perlu diambil selain kos rawatan sekiranya dia ditahan di wad perlu dijelaskan ”katanya.
Sehubungan itu, orang ramai prihatin yang ingin menyalurkan derma bagi membantu kanak-kanak ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank RHB milik Azita Binti Mud Yatim 16209000022120 atau menghubunginya menerusi talian 012-6177762.
Post Footer automatically generated by Add Post Footer Plugin for wordpress.









